Tuesday, September 25, 2012

Islam vs Fanatisme



Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

''Bukan golongan umatku orang yang mengajak kepada fanatisme, bukan termasuk umatku orang yang berperang kerana fanatisme dan bukan tergolong umatku orang yang mati disebabkan fanatisisme''. (Riwayat Tarmizi).

ULASAN:Apabila mereka sudah meyakini atau percaya, mereka kerap menjadi fanatik terhadap sesuatu kepercayaan sehingga sukar bagi kita umat Islam membawa mereka kembali ke jalan yang benar dan dituntut oleh agama.

Lebih dari itu mereka bersikap tertutup dalam menerima pendapat dan buah fikiran yang dilihatnya berasal daripada golongan lain. Mereka menilai antara benar dan salah itu berdasarkan atas perasaan persamaan suku, golongan, parti dan aliran.

Syak wasangka, curiga mencurigai sesama Muslim, kekerasan dan pengkhianatan menjadi amalan mereka. Akibatnya mereka terasing, menjauhkan diri daripada percaturan dunia luar.

Tuduhan bahawa kerajaan hari ini zalim, kafir, sekular, munafiq, fasiq dan sebagainya memperlihatkan betapa taksubnya golongan tersebut sehingga menafikan semua kebaikan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Barisan Nasional (BN). Meskipun Rasulullah s.a.w. telah memberikan garis-garis dalam membentuk pemikiran dengan anjuran ''agar melihat apa yang dibicarakan dan jangan melihat siapa yang berbicara'', namun kata-kata yang berharga itu tidaklah mempan bagi mereka yang dihinggapi penyakit fanatik melulu.

Keterbukaan yang boleh membawa manusia luas dalam mengharungi cakerawala pandangan, telah mereka singkirkan. Mereka menganalisis masalah dengan lebih mendahului ''siapa'' dan bukan ''apa''.

Justeru, Rasulullah s.a.w. sendiri lebih jauh menekankan ''terimalah kebenaran itu dari mana pun ia datang, walaupun dari seorang fasik atau seorang kafir''.

Ini adalah suatu petanda bahawa bagaimana kelemahan yang ada pada diri seseorang atau golongan, dari satu segi tertentu ia juga memiliki kelebihan.

Mereka yang taksub itu walau setinggi mana pun pengetahuan mereka, sebenarnya mereka buta. Sebahagian besar mereka adalah orang-orang yang tidak suka mempergunakan akalnya dengan baik dan tidak memahami makna dan isi ajaran Islam sebenar.

Secara lahiriah mereka beragama tetapi hakikatnya adalah kaum pengikut secara taklid yang tidak mengerti hendak dibawa ke mana oleh pemimpin-pemimpinnya, sekalipun ke arah kesesatan pasti mereka mengikutinya. Sifat seperti ini sememangnya telah diasuh sebegitu rupa, oleh pemimpin-pemimpin mereka supaya pengikutnya berfanatik secara membabi buta.

Sepatutnya, seseorang Muslim itu patut bersikap terbuka, ingin belajar dan mengubah sikap apabila mengetahui kesalahan sesuatu fahaman mereka tanpa rasa angkuh dan sombong.

Dari hadis riwayat Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:

''Barangsiapa yang terbunuh di bawah panji-panji kesesatan, ia menyeru 'asabiyah' atau menolong 'asabiyah', maka bangkainya itu adalah bangkai jahiliah''.

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa perasaan taksub dan asabiyah atau dengan kata lain fanatik adalah diharamkan dalam agama Islam.

Punca fanatisisme melulu adalah disebabkan kejahilan ilmu pengetahuan. Kejahilan mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat dan negara.

No comments:

Post a Comment